Tuesday, February 18, 2014

Semakan Keputusan BR1M 3.0 2014

Untuk mengetahui keputusan anda layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 2014 sila buat semakan dengan langkah-langkah berikut:

1. Talian Hotline

Untuk membuat semakan melalui talian hotline, sila hubungi talian hotline berikut 1-800-222-500 atau 1-800-88-2716 yang beroperasi pada waktu bekerja Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang.

2. E-mel

Untuk semakan melalui emel, sila hantar butiran Nama dan Nombor Kad Pengenalan ke alamat emel berikut: br1m3@treasury.gov.my. Semakan boleh dibuat bermula Februari 2014. Pemohon akan menerima jawapan dalam masa 1 hingga 3 hari bekerja.

3. Melalui Pos

Jika pemohon tidak mengemaskini nombor akaun bank dalam permohonan BR1M 3.0, pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat pengesahan ke alamat pemohon yang berdaftar secara berperingkat-peringkat. Pemohon juga akan diberitahu tempat untuk mengambil baucar di dalam surat tersebut.

Semua semakan boleh dibuat bermula awal Februari 2014. Pelancaran BR1M 3.0 akan dilakukan oleh Perdana Menteri pada 22 Februari 2014 dan bantuan akan mula diterima bermula secara berperingkat bermula 23 Februari 2014.


Saturday, January 11, 2014

Top 5 : Kereta Terlaris di Malaysia 2013

Top 5 pada kali ini memberi fokus kepada kereta paling popular dan terlaris di pasaran Malaysia pada tahun 2013. Kereta-kereta keluaran Perodua dan Proton masih mendapat tempat bagi rakyat Malaysia kemungkinan dari segi harga, kemampuan untuk membeli dan keperluan pengangkutan yang sesuai bagi golongan berpendapatan menengah dan bawahan. Berikut disenaraikan 5 kereta terlaris di Malaysia pada tahun 2013. Check it out...

1. PERODUA MYVI


Produk hasil kolaborasi Perodua dengan Daihatsu dan Toyota sejak tahun 2005. Myvi ialah kereta supermini keluaran Perodua berdasarkan model asal Daihatsu Sirion (juga dijual sebagai Toyota Passo dan Subaru Justy). Myvi merupakan kereta paling laris dijual di Malaysia dari tahun 2006 hingga 2010. Pelancaran Myvi adalah sebagai signifikasi kepada permulaan persaingan dengan Proton dimana kedua-duanya bersaing dalam pengeluaran kereta yang sama iaitu Proton bakal memperkenalkan Proton Savvy pada tahun tersebut. Perodua Myvi 1.3 telah mengalahkan pesaingnya Proton Savvy 1.2 sebagai Car of The Year 2005/2006 oleh majalah untuk pembeli kereta di Malaysia, Autocar ASEAN.

2. PROTON SAGA BLM


Proton Saga generasi kedua telah dilancarkan pada tahun 2008 merupakan kereta subcompact sedan keluaran syarikat automotif pertama negara Proton. Juga dikenali sebagai Proton Saga BLM (Based Lone Model) adalah merupakan kesinambungan daripada model generasi pertama yang dikeluarkan pada tahun 1985. Proton Saga dinamakan sempena biji merah saga daripada pokok Saga yang banyak terdapat di negara ini. Bagaimanapun, menurut Ismail Jaafar, pesara tentera yang memenangi pertandingan menamakan model keluaran kereta tersebut, memberitahu, nama Saga adalah singkatan akronim kepada safety,achievement, greatness dan ability.

3. PERODUA VIVA


Perodua Viva merupakan model keluaran Perodua yang telah dilancarkan pada tahun 2007. Kelas city car ini adalah berdasarkan kepada model generasi ketujuh Daihatsu Mira dan menggunakan enjin Daihatsu DVVT. Rancangan asal Perodua untuk menggantikan model kelas city car yang terdahulu iaitu Perodua Kancil dan Perodua Kelisa.

4. PERODUA ALZA


Perodua Alza ialah model kompak MPV keluaran Perodua yang menyasarkan kepada golongan keluarga muda. Percubaan kedua Perodua bagi penjenamaan semula MPV, Perodua Rusa. Nama Alza diambil daripada perkataan Sepanyol, alzar bermakna 'to raise'. Diperolehi hasil daripada pertandingan dalaman bagi mencari nama untuk model yang sedang dibangunkan tersebut. Alza merupakan model yang menggunakan kejuruteraan Daihatsu Boon Luminas dan Toyota Passo Sette tetapi menggunakan enjin de-tuned Toyota Avanza dan Daihatsu Terios. Pada tahun 2010, Alza merupakan model MPV terlaris di Malaysia 
dengan jumlah unit terjual sebanyak 42,000 unit mengatasi Proton Exora.


5. TOYOTA VIOS


Model keluaran Toyota Motor Corporation ini mula memasuki pasaran di Malaysia pada tahun 2007. Dikilangkan oleh UMW Toyota Malaysia di Shah Alam, Selangor, Vios mendapat nama daripada perkataan Latin vios yang bermaksud 'to move forward'. Pernah diiktiraf sebagai kereta paling laris bukan buatan tempatan pada tahun 2012.


Anda juga ingin tahu:



Amaran Banjir Kedua di Kuantan

Jalan Kuantan-Maran berhampiran Bukit Gambang Resort dinaiki air pada jam 4.30 petang 10 Jan 2014.

Hujan berterusan pada hari ini mengundang kebimbangan penduduk di sekitar Kuantan, Pahang kerana berkemungkinan banjir kali kedua akan melanda kawasan tersebut. Paras air Sungai Kuantan telah naik ke paras 1.7m berbanding paras bahaya 3.0m. Berita terbaru pada petang tadi  jam 3 petang pekan Sungai Lembing telah dinaiki air setinggi 0.5m. 

Jalan Kuantan - Maran berhampiran Bukit Gambang Resort ditutup kepada kenderaan ringan kerana paras air telah berada pada 0.6m. Namun, tiada laporan mengenai penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. 

Amaran telah dikeluarkan paras air Sg Kuantan di Bukit Kenau kini berada pada paras 19.78m menghampiri paras bahaya 20m. Semua penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir kedua jika hujan berterusan.

Friday, January 3, 2014

Petua Elak Senggugut


Sakit dan menyeksakan apabila berhadapan dengan senggugut apabila datang haid. Di sini sedikit petua bagi wanita yang sering mengalami sakit senggugut, anda boleh mencuba cara ini bagi mengelak kesakitan. Sila ikut langkah mudah berikut:

1. Dapatkan bahan berikut iaitu halia dan lada hitam. Kuantiti yang diperlukan adalah sama banyak.
2. Tumbuk kedua-dua bahan tersebut.
3. Makan selama seminggu sebelum datang haid.
4. Inshaa Allah, senggugut anda akan hilang.

Sumber: Mingguan Wanita



Related Post:

Petua Rawati Resdung Guna Bawang Merah


Tentu anda tidak selesa jika anda selalu bersin. Ia mungkin petanda resdung. Untuk mengurangkan gejala resdung, sila ikut langkah berikut:


  1. Hiris 3 biji bawang merah
  2. Ambil 2 helai duan sirih dan secubit biji sawi
  3. Masukkan ke dalam bekas bersama air mendidih
  4. Kemudian wapkan ke muka anda
  5. Amalkan selau, Inshaa Allah

Sumber: Mingguan Wanita


Related Post:

Amalan Yang Boleh Menjadikan Kita Fakir

Pukul 7.00 pagi tadi tertengok program Tanyalah Ustaz di TV9. Sedikit hendak berkongsi di sini beberapa amalan yang boleh menjadikan kita fakir. Antaranya:


  • Makan Selepas Berjimak Dengan Isteri
Amalan yang ditegah oleh ulama ialah tidak mandi hadas atau junub terus kita menghadap makanan. Sebaik-baiknya bersihkan dahulu diri daripada hadas besar.

  • Memakai Seluar Ketika Berdiri
Perasan tak kita selalu memakai seluar ketika berdiri, ini salah satu amalan yang boleh menjadikan kita fakir. Jarang kita rasa nak pakai seluar sambil duduk. Agak kekok kan. Jadi apa salahnya kita tukar tabiat kita tu. Kalau pakai serban bolehlah kita berdiri tetapi pakai seluar hendaklah kita duduk semasa memakainya.
  • Mendahului Orang Tua Ketika Berjalan
Janganlah kita melepasi orang tua yang sedang berjalan. Ada satu kisah yang diriwayatkan, Saidina Umar al-Khattab r.a ketika dalam perjalanan hendak ke masjid berselisih dengan seorang tua Yahudi yang sedang berjalan, beliau berjalan di belakang orang tua tersebut sehingga melepasi masjid. Kebaikan Umar ini menyebabkan Malaikat menahan Nabi S.A.W ketika rukuk sehingga Umar dapat rukuk bersama-sama. Itulah asal-usul kalimah Sami'Allah.
  • Tidur Dalam Keadaan Telanjang
Tidur tanpa memakai pakaian adalah satu amalan yang boleh menjadikan kita fakir. Seelok-eloknya pakailah baju atau kain ketika tidur. 

Sama-samalah kita menginsafi diri dengan mengamalkan amalan ini. Semoga berkat daripada ilmu yang sedikit ini tidak akan menjadikan kita fakir. Wallahu 'Alam.


Related Post:


Thursday, January 2, 2014

Himpunan Lebih Besar Jika Tiada Tindakan




Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup yang telah diadakan pada malam 31 Disember 2013 lepas dianggap sebagai berjaya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Ancaman mengenai bom dan senjata tajam hanya gimik oleh pihak polis bagi menggagalkan perhimpunan tersebut.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat, perhimpunan tersebut hanyalah permulaan dan jika tiada
perubahan daripada kerajaan perhimpunan yang lebih besar akan diadakan.


Related Post:








Top 10: Tempat Yang Harus Anda Lawati di Malaysia

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (VMY14) ini, Top 10 pada post kali ini menyenaraikan 10 destinasi yang terbaik yang harus anda lawati pada tahun 2014 ini. Senarai ini merupakan cadangan Penulis sahaja mungkin anda ada tempat menarik lain yang ingin dilawati tetapi pastikan mengamalkan sikap berhemah ketika berbelanja. Selamat Bercuti...

1. Taman Kinabalu, Sabah


Merupakan salah satu taman negara yang terawal diisytiharkan di Malaysia pada tahun 1964. Tarikan utama sudah tentulah Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan merupakan
gunung tertinggi di Malaysia dan Pulau Borneo. Disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada tahun 2000, sememangnya Taman Kinabalu mempunyai tarikan tersendiri dari segi keindahan alam semulajadinya. Merupakan habitat kepada 4,500 spesis flora dan fauna, termasuk 326 spesis burung dan 100 spesis mamalia. Antara aktiviti utama yang boleh dilakukan di sini ialah mendaki Gunung Kinabalu dan jungle trekking di Taman Kinabalu.

2. Pulau Tioman, Pahang



Pulau tropika yang terletak di luar pesisir pantai Johor dan Pahang di Laut China Selatan ini adalah antara destinasi popular pelancongan di Malaysia dan antarabangsa. Pernah disenaraikan oleh Times Magazine pada tahun 1970-an sebagai salah sebuah pulau tercantik di dunia. Kawasan marin di sekitar Pulau Tioman telah diwartakan sebagai taman laut dan taman laut simpanan oleh kerajaan Malaysia bagi memelihara terumbu karang dan hidupan marin yang pelbagai. Tioman juga popular di kalangan peminat scuba diving dan keindahan pantainya.

3. Bandaraya Melaka




Legasi sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan kolonial selama 500 tahun menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan yang mesti dilawati. Bandaraya yang penuh bersejarah ini diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 2008 bersama-sama George Town, Pulau Pinang. Tinggalan penjajah Portugis dan Belanda seperti Kota A Famosa, Stadthuys, town house bercirikan tradisi Portugis, Belanda, Cina dan Inggeris mewarnai lanskap Bandar Melaka terutama di Bandar Hilir dan Jonker Walk. Antara tempat yang mesti dilawati ialah A Famosa, Stadthuys, Muzium Kesultanan Melaka, Runtuhan Gereja St Paul, Makam Hang Jebat dan Masjid Kampung Kling.

4. Menara Berkembar Petronas & KLCC




Bangunan tertinggi di dunia pada tahun 1998 hingga 2004, Menara Berkembar Petronas dibina sebagai simbol kejayaan industri minyak negara melalui konglomerat Petronas. Idea yang dicetuskan oleh Tun Mahathir, bangunan ini adalah mercu tanda utama yang memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Suria KLCC, Taman KLCC, Aquaria KLCC dan PetroSains adalah antara tarikan utama. Menara 88 tingkat ini direka oleh arkitek Argentina, Cesar Pelli yang menggunakan motif kesenian Islam, Rub el Hizb dalam rekaannya.

5. Pulau Langkawi, Kedah




Terkenal dengan lagenda Mahsuri dan sumpahan tujuh keturunan, Pulau Langkawi kini pesat membangun sebagai sebuah destinasi pelancongan pulau dengan pelbagai tarikan menjadikannya Permata Kedah. Diisytiharkan sebagai World Geopark oleh Unesco pada tahun 2007. Pulau Langkawai menawarkan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dilawati antaranya Pekan Kuah, Kampung Mahsuri, Kereta Kabel Langkawi, Pulau Dayang Bunting, Padang Mat Sirat, Teluk Burau dan Pantai Cenang.

6. Genting Highlands, Pahang




Pusat peranginan tanah tinggi yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini mula diteroka pada tahun 1965 dan dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969. Hanya 30 minit daripada Kuala Lumpur sememangnya Genting Highlands menjadi pilihan warga kota untuk bercuti kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Lembah Klang. Resort tanah tinggi ini terletak pada ketinggian 1,740 meter dari aras laut. Tarikan utama di sini adalah taman tema permainan, Genting Skyway dan Casino de Genting, satu-satunya kasino yang beroperasi di Malaysia.

7. Taman Negara


Dibangunkan oleh kerajaan kolonial Inggeris pada tahun 1938 dengan nama asalnya King George V National Park. Keluasan Taman Negara yang merangkumi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu merupakan hutan hujan khatulistiwa yang tertua di dunia. Destinasi pelancongan ecotourism yang terkenal di Malaysia, Taman Negara menawarkan keindahan semulajadi yang tiada tolok bandingnya terutama kepada pencinta alam sekitar dengan keindahan flora dan faunanya. Merupakan habitat kepada hidupan liar yang semakin pupus seperti harimau malaya, badak sumbu sumatera, seladang dan gajah asia. Tarikan lain adalah canopy walkway, Lata Berkoh, Gua Telinga dan Gunung Tahan setinggi 2,187 meter yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

8. Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak 




Taman Negara Gunung Mulu yang terletak berhampiran Miri, Sarawak ialah Tapak Warisan Dunia Unesco yang merangkumi gua-gua batu kapur dan pembentukan karst di kawasan pergunungan hutan hujan khatulistiwa. Taman Negara Gunung Mulu terkenal dengan gua-gua yang besar dikenali sebagai Sarawak Chambers, puncak-puncak batu, tebing dan gaung. Gua Nasib Bagus antaranya boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 747s. Antara tarikan lain ialah Gua Rusa, Gua Angin, Gua Air Jernih dan Gua Benarat yang terdapat di dalamnya sebahagian daripada sungai bawah tanah terpanjang di dunia.

9. George Town, Pulau Pinang




Merupakan ibu negeri Pulau Pinang, George Town dinamakan sempena pemerintah Britain, King George III. Dibangunkan oleh Kapten Francis Light selepas membelinya daripada Kedah pada tahun 1786, George Town berfungsi sebagai pusat perdagangan semasa penjajahan British di utara Semenanjung. Diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 2008 bersama dengan Melaka, George Town menawarkan tarikan unik dan pelbagai kebudayaan daripada Melayu, India Muslim, Cina dan Serani. Antara tarikan George Town ialah Fort Cornwallis, Padang Kota, Kuil Kek Lok Si, Menara Komtar, Bukit Bendera dan Beach Street.

10. Putrajaya


Bandar terancang ini mula dibangunkan pada tahun 1995 sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dengan kos sebanyak RM24.3 billion. Peralihan pentadbiran kerajaan persekutuan daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya selesai sepenuhnya pada tahun 1999. Struktur bangunan yang bersifat moden dan Islamik memenuhi lanskap Putrajaya menjadikannya tempat yang ideal bagi penggemar urban tourism. Tarikan utama di Putrajaya ialah Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Perdana Menteri, Istana Kehakiman, Istana Melawati dan Pusat Konvensyen Putrajaya. Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi dan keindahan rekabentuk beberapa jambatan yang merentangi Tasik Putrajaya. 



Related Post:

Wednesday, January 1, 2014

Kartun Sinis: Belanja Budak Sekolah


Inilah dia realiti kos sara perbelanjaan untuk anak-anak bersekolah di Lembah Klang. RM300 - RM500 adalah jumlah yang sepatutnya ada. Kalau anak lebih dari seorang fikir-fikir kan lah. Golongan marhaen yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sangat terkesan dengan keadaan ini.

10,000 Banjiri Dataran Merdeka, Kerajaan 'Tak Terguling Pun'

Kebanjiran orang ramai memenuhi Dataran Merdeka pada malam 31 Disember 2013 bagi menyatakan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup mengundang kekecohan semasa berlangsungnya Konsert Sambutan Tahun Baru 2014 anjuran DBKL.


Kumpulan perarakan yang bermula di tiga tempat berkumpul iaitu Sogo, Pasar Seni dan Masjid Jamek menyaksikan seramai 10,000 orang berarak dengan aman menuju ke Dataran Merdeka. Gerakan TURUN Kos Sara Hidup yang diketuai oleh Saudara Azan Safar menyifatkan objektif utama himpunan ini telah disalahertikan sebagai perhimpunan guling kerajaan.


Waimanya, jauh panggang dari api, tiada laungan atau tindakan yang agresif yang boleh dikatakan ganas semasa perhimpunan berlangsung. Namun begitu Konsert tersebut terpaksa dibatalkan kerana kekecohan telah berlaku di antara kumpulan perarakan dan penonton konsert. Biarlah kekecohan berlaku kerana objektif untuk menyatakan bantahan berjaya dilaksanakan.


Kenyataan polis yang mendakwa terdapat senjata tajam dan bom dalam perhimpunan tersebut ternyata meleset sama sekali.

Selamat Tahun Baharu 2014

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Selamat Tahun Baharu 2014 kepada semua pembaca blog Apa-Apa Jer...Lah. Semoga tahun 2014 membawa sinar perubahan kepada kita semua. Tinggalkan tahun 2013 yang menyeksakan. Walaupun tahun baharu ini bakal menyempitkan hidup kita dengan kenaikan kos sara hidup. Sama-samalah tabah menghadapi dugaan hidup dan tidak lupa sentiasa bersyukur kepada-Nya.

Mohamad Khir