Thursday, January 2, 2014

Top 10: Tempat Yang Harus Anda Lawati di Malaysia

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (VMY14) ini, Top 10 pada post kali ini menyenaraikan 10 destinasi yang terbaik yang harus anda lawati pada tahun 2014 ini. Senarai ini merupakan cadangan Penulis sahaja mungkin anda ada tempat menarik lain yang ingin dilawati tetapi pastikan mengamalkan sikap berhemah ketika berbelanja. Selamat Bercuti...

1. Taman Kinabalu, Sabah


Merupakan salah satu taman negara yang terawal diisytiharkan di Malaysia pada tahun 1964. Tarikan utama sudah tentulah Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan merupakan
gunung tertinggi di Malaysia dan Pulau Borneo. Disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada tahun 2000, sememangnya Taman Kinabalu mempunyai tarikan tersendiri dari segi keindahan alam semulajadinya. Merupakan habitat kepada 4,500 spesis flora dan fauna, termasuk 326 spesis burung dan 100 spesis mamalia. Antara aktiviti utama yang boleh dilakukan di sini ialah mendaki Gunung Kinabalu dan jungle trekking di Taman Kinabalu.

2. Pulau Tioman, Pahang



Pulau tropika yang terletak di luar pesisir pantai Johor dan Pahang di Laut China Selatan ini adalah antara destinasi popular pelancongan di Malaysia dan antarabangsa. Pernah disenaraikan oleh Times Magazine pada tahun 1970-an sebagai salah sebuah pulau tercantik di dunia. Kawasan marin di sekitar Pulau Tioman telah diwartakan sebagai taman laut dan taman laut simpanan oleh kerajaan Malaysia bagi memelihara terumbu karang dan hidupan marin yang pelbagai. Tioman juga popular di kalangan peminat scuba diving dan keindahan pantainya.

3. Bandaraya Melaka




Legasi sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan kolonial selama 500 tahun menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan yang mesti dilawati. Bandaraya yang penuh bersejarah ini diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 2008 bersama-sama George Town, Pulau Pinang. Tinggalan penjajah Portugis dan Belanda seperti Kota A Famosa, Stadthuys, town house bercirikan tradisi Portugis, Belanda, Cina dan Inggeris mewarnai lanskap Bandar Melaka terutama di Bandar Hilir dan Jonker Walk. Antara tempat yang mesti dilawati ialah A Famosa, Stadthuys, Muzium Kesultanan Melaka, Runtuhan Gereja St Paul, Makam Hang Jebat dan Masjid Kampung Kling.

4. Menara Berkembar Petronas & KLCC




Bangunan tertinggi di dunia pada tahun 1998 hingga 2004, Menara Berkembar Petronas dibina sebagai simbol kejayaan industri minyak negara melalui konglomerat Petronas. Idea yang dicetuskan oleh Tun Mahathir, bangunan ini adalah mercu tanda utama yang memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Suria KLCC, Taman KLCC, Aquaria KLCC dan PetroSains adalah antara tarikan utama. Menara 88 tingkat ini direka oleh arkitek Argentina, Cesar Pelli yang menggunakan motif kesenian Islam, Rub el Hizb dalam rekaannya.

5. Pulau Langkawi, Kedah




Terkenal dengan lagenda Mahsuri dan sumpahan tujuh keturunan, Pulau Langkawi kini pesat membangun sebagai sebuah destinasi pelancongan pulau dengan pelbagai tarikan menjadikannya Permata Kedah. Diisytiharkan sebagai World Geopark oleh Unesco pada tahun 2007. Pulau Langkawai menawarkan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dilawati antaranya Pekan Kuah, Kampung Mahsuri, Kereta Kabel Langkawi, Pulau Dayang Bunting, Padang Mat Sirat, Teluk Burau dan Pantai Cenang.

6. Genting Highlands, Pahang




Pusat peranginan tanah tinggi yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini mula diteroka pada tahun 1965 dan dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969. Hanya 30 minit daripada Kuala Lumpur sememangnya Genting Highlands menjadi pilihan warga kota untuk bercuti kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Lembah Klang. Resort tanah tinggi ini terletak pada ketinggian 1,740 meter dari aras laut. Tarikan utama di sini adalah taman tema permainan, Genting Skyway dan Casino de Genting, satu-satunya kasino yang beroperasi di Malaysia.

7. Taman Negara


Dibangunkan oleh kerajaan kolonial Inggeris pada tahun 1938 dengan nama asalnya King George V National Park. Keluasan Taman Negara yang merangkumi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu merupakan hutan hujan khatulistiwa yang tertua di dunia. Destinasi pelancongan ecotourism yang terkenal di Malaysia, Taman Negara menawarkan keindahan semulajadi yang tiada tolok bandingnya terutama kepada pencinta alam sekitar dengan keindahan flora dan faunanya. Merupakan habitat kepada hidupan liar yang semakin pupus seperti harimau malaya, badak sumbu sumatera, seladang dan gajah asia. Tarikan lain adalah canopy walkway, Lata Berkoh, Gua Telinga dan Gunung Tahan setinggi 2,187 meter yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

8. Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak 




Taman Negara Gunung Mulu yang terletak berhampiran Miri, Sarawak ialah Tapak Warisan Dunia Unesco yang merangkumi gua-gua batu kapur dan pembentukan karst di kawasan pergunungan hutan hujan khatulistiwa. Taman Negara Gunung Mulu terkenal dengan gua-gua yang besar dikenali sebagai Sarawak Chambers, puncak-puncak batu, tebing dan gaung. Gua Nasib Bagus antaranya boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 747s. Antara tarikan lain ialah Gua Rusa, Gua Angin, Gua Air Jernih dan Gua Benarat yang terdapat di dalamnya sebahagian daripada sungai bawah tanah terpanjang di dunia.

9. George Town, Pulau Pinang




Merupakan ibu negeri Pulau Pinang, George Town dinamakan sempena pemerintah Britain, King George III. Dibangunkan oleh Kapten Francis Light selepas membelinya daripada Kedah pada tahun 1786, George Town berfungsi sebagai pusat perdagangan semasa penjajahan British di utara Semenanjung. Diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 2008 bersama dengan Melaka, George Town menawarkan tarikan unik dan pelbagai kebudayaan daripada Melayu, India Muslim, Cina dan Serani. Antara tarikan George Town ialah Fort Cornwallis, Padang Kota, Kuil Kek Lok Si, Menara Komtar, Bukit Bendera dan Beach Street.

10. Putrajaya


Bandar terancang ini mula dibangunkan pada tahun 1995 sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dengan kos sebanyak RM24.3 billion. Peralihan pentadbiran kerajaan persekutuan daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya selesai sepenuhnya pada tahun 1999. Struktur bangunan yang bersifat moden dan Islamik memenuhi lanskap Putrajaya menjadikannya tempat yang ideal bagi penggemar urban tourism. Tarikan utama di Putrajaya ialah Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Perdana Menteri, Istana Kehakiman, Istana Melawati dan Pusat Konvensyen Putrajaya. Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi dan keindahan rekabentuk beberapa jambatan yang merentangi Tasik Putrajaya. 



Related Post:

No comments:

Post a Comment