Friday, June 14, 2013

Felda, FGVH dan Peneroka

1. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau Federal Land Development Authority (FELDA) ditubuhkan pada 1956. Raja Mohd Alias merupakan Pengerusinya yang pertama. Idea oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Tun Abdul Razak ini mempunyai objektif serampang dua mata iaitu memberi tanah kepada rakyat yang tidak bertanah dan membasmi kemiskinan terutamanya kepada orang-orang Melayu Bumiputera.

2. FELDA semasa asal penubuhannya dengan bajet RM10 juta memfokus kepada tanaman getah dengan membuka tanah rancangannya yang pertama di Lurah Bilut, Pahang. Tanaman kelapa sawit yang pertama telah dibuka pada 1961 menyahut seruan kerajaan untuk mempelbagaikan hasil tanaman pertanian dan mengelak daripada kebergantungan kepada hasil dan turun naik harga getah di pasaran dunia. Sehingga kini, FELDA telah membuka seluas 811,140 hektar (2,004,400 ekar) tanaman sawit yang kini diuruskan oleh Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

3. Pada tahun 2012, saham Felda melalui FGVH telah diapungkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan merupakan IPO (Initial Public Offering) kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Pelbagai cerita dan spekulasi mengenai FGVH ini kita dengar melalui berita di media massa dan internet.

4. Peneroka asal di Lurah Bilut semasa mula-mula membuka tanah rancangan Felda yang pertama menghadapi pelbagai rintangan dan kesusahan. Mereka terpaksa menyesuaikan diri hidup di tempat baru yang berlainan sama sekali berbanding di kampung halaman masing-masing. Mereka perlu mengusahakan tanah baru yang asalnya adalah hutan belantara. Kemudahan seperti air dan elektrik terbatas sama sekali. Jalan masuk ke tanah rancangan seperti jalan-jalan lori balak seperti di kawasan pembalakan, lecah, kotor dan berdebu.

5. Peneroka diberikan tapak rumah seluas 0.25 ekar dan ladang seluas 10 ekar ditanam dengan getah atau kelapa sawit atau koko atau tebu. Selepas tanaman mengeluarkan hasil, pendapatan yang diterima akan ditolak bagi Bayaran Kembali (BK) dan kos Tanam Semula (TS). Kebiasaannya selepas 20 tahun peneroka akan mendapat hakmilik tanah dan rumah masing-masing.

6. Selepas mendapat hakmilik peneroka boleh sama ada mengusahakan ladangnya sendiri atau menyerahkan kepada pihak Felda untuk mengusahakan seperti biasa. Jika diserahkan kepada Felda pengurusan lebih terjamin tetapi keuntungan dibahagi dua. Mengusaha ladang sendiri memang menguntungkan tetapi perlu pengawasan yang lebih rapi. Kebanyakan ladang tanaman kini tidak lagi diusahakan oleh warga peneroka tetapi oleh tenaga import daripada Indonesia dan Bangladesh, sama ada usaha sendiri atau Felda.

7. Generasi Pertama semakin tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja ladang yang berat seperti memotong tandan, mengangkat tandan, membaja, membersihkan tanah ladang dan sebagainya yang semestinya memerlukan tenaga muda dan segar.

8. Generasi Kedua yang terdiri daripada anak-anak peneroka kebanyakannya tidak tinggal di Felda dan sudah tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan kerja-kerja bapa-bapa mereka. Bagi yang berpelajaran sudah tentu tidak akan kembali semula ke tempat asal mereka. Yang tinggal mereka-mereka yang tidak berpelajaran yang menetap di tanah rancangan meneruskan langsung survival orang tua mereka. Tidak juga, yang tidak berpelajaran pun ada yang tidak tinggal di tanah rancangan tetapi selesa mencari rezeki di bandar.

9. Mungkinkah tanah-tanah ini akan tergadai oleh pemikiran yang sempit yang datangnya daripada idea-idea kapitalisma. Pengurusan yang lebih telus dan sistematik tanah rancangan Felda perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pengurusan atasan Felda dan kerajaan. Menterinya mahupun Pengerusinya perlu memikirkan survival dan relevancynya tanah rancangan ini pada masa hadapan.

Mohamad Khir
14/6/2013

No comments:

Post a Comment