Friday, June 14, 2013

KampungKu - Chini

Kampung adalah tempat kita dilahirkan, dibesarkan dan kita menerima kasih sayang. Walaupun aku dilahirkan di Kampung Acheh di daerah Pekan di dalam negeri Pahang, tetapi aku dibesarkan di Tanah Rancangan Felda Chini 2 dalam Gugusan Chini. Abah dan emak telah menetap di Chini sejak tahun 1982. Abah pada mulanya bekerja sebagai jaga di Kilang Sawit Felda Chini 1. Kemudian memohon tanah rancangan Felda yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu miskin dan tidak mempunyai tanah untuk survival dan berdikari mewujudkan generasi sendiri.

Peneroka yang berjaya dalam temuduga akan diberi rumah kayu di atas tanah lot berukuran 0.25 ekar (standard tanah rumah Felda) dan tanah ladang sama ada ditanam dengan getah atau kelapa sawit (dalam kes Abah - sawit) berkeluasan 10 ekar. Kerja-kerja awal peneroka adalah menanam pokok sawit, membersihkan kawasan ladang, membaja dan memastikan anak-anak pokok sawit membesar dan selepas 2 tahun menuai hasilnya. Kerja-kerja ini dilakukan secara bergotong royong dan selepas tanaman telah mengeluarkan hasil, peneroka perlu menjaga ladang masing-masing bagi mendapatkan pengeluaran optimum.

Felda Gugusan Chini merupakan sebahagian projek Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA). Nama Chini diambil bersempena dengan nama Tasik Chini yang berhampiran dengan gugusan tanah rancangan ini. Lagenda Naga Tasik Chini yang terkenal itu turut mempopularkan Tasik Chini sebagai tempat menarik di negara ini. Malah, Felda Chini juga menerima tempiasnya sebagai pekan terdekat untuk mendapatkan barangan keperluan bagi pusat pelancongan tersebut.

Setelah hampir 35 tahun, Chini pada tahun 2013 telah membangun dengan pesat dengan terbinanya Kolej Felda dan Pusat Tenun Sutera Pahang. Rumah-rumah peneroka tidak lagi beratapkan zink dan berdindingkan kayu seperti asal tetapi telah diubahsuai dengan batu-bata bak mahligai indah seperti banglo. Deretan kedai semakin bercambah seperti cendawan selepas hujan. Ladang-ladang telah ditanam semula. Peneroka-peneroka juga telah mendapat hakmilik rumah dan tanah masing-masing hasil penat lelah membanting tulang selama 35 tahun. Kini terserahlah kepada Generasi Kedua mencorak dan menjadikan tanah rancangan tempat yang lebih baik daripada generasi terdahulu.

Aku sebagai generasi kedua dan anak Felda merasakan terpanggil untuk mengenang kembali jerit perih kesusahan abah dan emak membesarkan aku dan adik-adik ku di tanah rancangan sehingga menjadi Manusia. Bagaimanakah lanskap dan kehidupan di tanah rancangan selepas 30 tahun akan datang? Adakah ladang-ladang getah dan sawit diusahakan oleh generasi kedua atau mat-mat indon dan bangla bermaharajalela?

Mohamad Khir
13/6/2013




No comments:

Post a Comment